”Saya Tegur, Tapi Tidak Didengar”, Nazir Razak Sifatkan Ketegaran Dan Pentingkan Diri Pemerintah Lama Jadi Punca Teguran Tak Diterima

Umum sudah pun mengetahui bahawa Malaysia kini bertukar tangan kepada pemerintahan baru setelah 60 tahun ditadbir oleh Barisan Nasional, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu. Pakatan Harapan yang diketuai Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu berjaya memenangi majoriti mudah kerusi Parlimen sekaligus berjaya membentuk kerajaan baru. Manakala, Tun Mahathir sekali lagi diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Kekalahan BN telah mendapat reaksi pelbagai daripada segenap lapisan masyarakat yang memberi pendapat masing-masing terhadap keputusan pilihanraya yang dianggap bersejarah kepada ramai pihak.

Antara yang turut memberi reaksi terhadap kebangkitan suara rakyat itu adalah Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, yang juga merupakan adik kepada Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau, kegagalan pentadbiran terdahulu untuk berubah dan memperbetulkan keadaan antara punca utama ia ditolak rakyat.

Ujarnya, beliau sudah sering kali mengingatkan mereka yang berkuasa ketika itu agar membuat pembetulan dalam pentadbiran negara, namun teguran tersebut tidak pernah didengar.

”Saya sudah mencuba banyak kali untuk menegur pentadbiran dahulu, yang Malaysia perlu diperbetul, namun ia gagal disebabkan ketegaran dan kepentingan diri pemerintah lama.

”Kini anda boleh melakukannya,” kata beliau dalam satu kemas kini di akaun Instagramnya ketika menyampaikan ucapan tahniah kepada Tun Mahathir di atas pelantikan semula sebagai Perdana Menteri.

”Malaysia, ikon demokrasi baru,” ujarnya lagi yang turut berkongsi hubungan baik Tun Mahathir dengan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai tekad yang sama untuk membawa Malaysia ke taraf yang lebih baik.

Di akhir perkongsian tersebut, beliau turut berdoa agar hasrat kerajaan semasa untuk mewujudkan Malaysia Baru tercapai.

Sumber : Instagram Nazir Razak