(Video) ”Lantikan Tiga Anggota Kabinet Tidak Ketepikan Mana-Mana Parti Dalam PH”, Ikuti Sesi Penerangan Khas Perdana Menteri

Tun Mahathir Mohamad yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 hari ini mengadakan satu sidang media khas bagi membuat penerangan berkaitan kabinet dan polisi-polisi pentadbirannya.

Antara penjelasan yang dibuat beliau adalah isu lantikan anggota kabinet awal yang diumumkannya sebelum ini hingga menimbulkan kekeliruan. Malah, keputusan beliau melantik wakil-wakil daripada parti gabungan Pakatan Harapan (PH) turut menerima respon dalam pimpinan mereka sendiri.

Ujarnya, pelantikkan tiga tokoh politik untuk menjawab jawatan utama sebelum ini dibuat tanpa mengenepikan mana-mana pihak dalam PH itu sendiri. Selain ia dibuat melalui mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi PH yang bertujuan untuk membincangkan dasar-dasar pentadbiran PH.

Beliau turut menambah bahawa majlis tersebut dianggotai oleh empat presiden parti gabungan dan dipengerusi oleh beliau sendiri.

Katanya lagi, lantikan tiga anggota kabinet tersebut sebagai menteri-menteri asas dan akan membentuk Majlis Presiden bersama-sama Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Beliau turut memberitahu bahawa kabinet yang dibentuk nanti akan mempunyai sekurang-kurangnya 25 menteri namun tidak melebihi 30.

Berhubung kebebasan media, katanya kerajaan baru tidak berhasrat untuk menghalang kebebasan media di negara ini selagi mana ia tidak mengganggu ketenteraman negara.

Tindakan itu dibuat bagi membolehkan rakyat dapat menerima berita secara tepat dan benar supaya rakyat sendiri dapat menentukan sama ada ia palsu atau sebaliknya.

“Dalam rejim sebelum ini, kita rasa sekatan. Ada akhbar pro itu, pro ini, tapi kita tidak akan sekat laporan mereka, janji ia membawa hasrat dalam laporan.

“Namun, usaha yang membawa ketegangan tidak akan diterima,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ia tetap mempunyai had tertentu dan mereka yang berniat untuk menimbulkan ketegangan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang. Malah, undang-undang berita tidak benar juga bakal diberi definisi baru.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha (KSU) bagi berbincang dan menjelaskan mengenai dasar-dasar kerajaan PH membabitkan penjawat awam.

“Insya-Allah esok saya akan menemui kesemua KSU kementerian dan menerangkan kepada mereka apa hasrat kita dan apa yang akan kita lakukan khasnya berkaitan rasuah,” katanya.

Penjelasan tersebut diberi bagi menjawab kebimbangan nasib 1.6 juta penjawat awam setelah wujud laporan sebelum ini mengenai kemungkinan penggabungan beberapa kementerian.

Berikut adalah rakaman penuh sesi penerangan khas beliau.

Sumber : BERNAMARTM